Friday, August 29, 2008

Hujah Anwar 20 peratus fakta, 80 peratus retorik - Mukhriz

Kehadiran Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat tidak memberi sebarang kesan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana hanya 20 peratus daripada apa yang diucapkan oleh Anwar adalah fakta.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, 80 peratus daripada apa yang diucapkan oleh Anwar adalah retorik semata-mata.

''Beliau memanglah seorang pemidato dan pendebat yang baik selain mempunyai cara yang tersendiri dalam berhujah.

''Namun, jika analisis dilakukan ke atas apa yang diucapkannya hanyalah 20 peratus fakta dan 80 peratus lagi retorik,'' katanya.

Mukhriz ditemui selepas merasmikan Kempen Derma Darah Pra-Ramadan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Jelas beliau, kerajaan kini perlu bersedia dengan fakta-fakta yang diperlukan untuk menangkis hujah Anwar.

''Dan kerajaan sememangnya sentiasa bersedia dengan fakta-fakta untuk menepis hujah dari pihak pembangkang,'' katanya.

Mengulas mengenai rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri pada 16 September depan, Mukhriz berkata, ia merupakan satu ilusi semata-mata.

''Saya tidak fikir akan ada sebegitu ramai Ahli Parlimen BN yang akan lompat parti.

''Kemungkinan juga yang melompat bukan dari BN tetapi dari parti pembangkang kepada BN,'' katanya.

Anwar gagal hari pertama sebagai Ketua Pembangkang

Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjalankan tugas hari pertamanya sebagai Ketua Pembangkang apabila tidak dapat mengawal kekecohan pada sesi petang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perkara itu terbukti apabila wakil rakyat pakatan pembangkang bertindak keluar Dewan kerana kecewa desakan mereka agar Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas tidak dilayan kerajaan.

''Apabila melihat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) begitu bersatu dan sepakat untuk menolak langkah merujuk rang undang-undang ini ke jawatankuasa berkenaan, pihak pembangkang bertindak keluar dewan kerana bimbang akan kalah dalam undi belah bahagi.

"Kekalahan ini akan memalukan mereka terutama apabila Anwar kini memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Anwar pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hari ini menegaskan usahanya untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat BN berjalan lancar dan yakin pakatan pembangkang boleh membentuk kerajaan pada 16 September ini.

Syed Hamid berkata, keengganan wakil rakyat BN untuk menyokong supaya rang undang-undang itu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas membuktikan dakwaan Anwar bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyokong kerajaan di Parlimen adalah tidak berasas.

''Anwar cuba menggugat perpaduan BN dengan bermacam-macam perbuatan termasuk mendakwa mendapat sokongan ahli-ahli BN tetapi wakil rakyat kita hari ini membuktikan sebaliknya dan bagi saya ini adalah bagus," ujarnya.

Tambah Syed Hamid, janji Anwar untuk memastikan Dewan Rakyat menjadi tempat kedua-dua pihak membincangkan hal ehwal rakyat juga tidak ditunaikan.

''Mereka cuba mempolitikkan rang undang-undang ini tanpa memikirkan ia penting untuk diluluskan segera bagi kepentingan rakyat terutama dalam menyelesaikan kes jenayah," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang tentang masa yang diberikan untuk mereka meneliti rang undang-undang itu tidak cukup, Syed Hamid berkata, ia tidak benar kerana naskhah rang-rang undang itu telah diserahkan kepada semua wakil rakyat tiga bulan sebelum ia dibentangkan.

''Saya lihat jumlah wakil rakyat pembangkang yang terlibat dalam perbahasan adalah lebih ramai daripada pihak BN, jadi dakwaan masa tidak cukup tidak berasas," ujarnya.

Sementara itu, Anwar melahirkan kekecewaan dengan kegagalan Syed Hamid menjawab persoalan mengenai cadangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang supaya rang undang-undang itu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas.

''Keengganan Syed Hamid mengulas mengenai perkara itu amat mengecewakan. Jadi tidak ada erti buat kami untuk terus menyertai perbahasan mengenai rang undang-undang ini.

''Kerajaan nampaknya masih tidak mengambil berat sentimen masyarakat dan tidak peduli tentang perasaan mereka," katanya.

Negara akan huru-hara jika Anwar jadi Perdana Menteri

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar) percaya negara ini akan menjadi huru- hara jika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru memenangi pilihan raya kecil Selasa lalu itu tidak mempunyai ciri-ciri seorang Perdana Menteri sebaliknya lebih sombong, berlagak dan sering menghina orang lain.

''Saya tidak nampak beliau mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang boleh membawa keamanan dan keharmonian kepada negara. Sebaliknya beliau jenis orang yang boleh merosakkan negara," katanya.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Membandarkan Desa anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri di sini hari ini.

Kata beliau, tindakan Anwar dan lebih 500 pengikutnya yang menyerang, mengugut dan mengancam para penyokong Barisan Nasional (BN) dari Melaka di Permatang Pauh Selasa lalu membuktikan sikap sebenar bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

''Saya terkejut dengan tindakan Anwar ini. Beliau umpama budak-budak dan perlakuannya tidak sedikitpun mencerminkan beliau seorang pemimpin yang baik apalagi untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Selasa lalu, dua buah bas yang membawa penyokong BN dari Bukit Katil di sini dikatakan dikepung oleh lebih 500 penyokong PKR di halaman Tadika Kemas Mengkuang Titi, Kubang Semang.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bukit Katil, Muhammad Jailani Khamis, para pengikut PKR itu telah mengepung bas-bas mereka manakala penumpangnya termasuk beliau sendiri telah diancam dan diugut oleh kumpulan terbabit.

Mohd. Ali berkata, pada masa yang sama beliau yakin dengan kesetiaan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana mereka masih sayangkan negara dan tidak akan terikut-ikut dengan hasutan Anwar.

''Walaupun dia kata akan jadi Perdana Menteri pada 16 September ini tetapi saya yakin impian Anwar tidak akan kesampaian," katanya.

Pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Selasa lalu, Anwar berjaya memperoleh 31,388 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah yang meraih 15,524 undi dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

BN Sabah, Sarawak tak akan lompat parti

Majoriti anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak hari ini menyatakan pendirian tidak akan lompat parti seperti yang diuar-uarkan pembangkang sebelum ini.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Ap- dal berkata, kenyataan yang dibuat pembangkang mengenai perkara itu merupakan suatu rekaan dan pembohongan semata-mata.

“Sokongan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan BN dan kita akan sentiasa bersama BN walaupun ada cerita di luar sana bahawa kononnya ada ura-ura anggota Parlimen dari kedua-dua negeri nak melompat (parti),” katanya yang mewakili anggota Parlimen kedua-dua negeri itu pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Kira-kira 20 anggota Parlimen Sabah dan Sarawak hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Unggah Embas dan anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna berkata pendirian tidak akan berlaku lompat parti itu turut dinyatakan dua anggota Parlimen BN dari Sabah iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) yang sebelum ini didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya telah bercakap dengan Eric Majimbun dan Chua Soon Bui pagi ini, saya berjumpa mereka dan mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka masih kekal bersama BN,” katanya.

Shafie berkata, satu surat yang mengandungi tandatangan semua anggota Parlimen dari kedua-dua negeri itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok sebagai tanda sokongan mereka.

“Kami akan memberi jaminan kami dan akan menandatanganinya dan menyerahkannya kepada Perdana Menteri hanya untuk memastikan tiadanya spekulasi,” kata Shafie.

Sarawak adalah negeri Bumi Kenyalang dan bukannya bumi katak

Parti Rakyat Sarawak (PRS) memberi jaminan tidak ada Ahli Parlimen dari parti itu yang akan menyertai pembangkang sebagaimana didakwa oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Seri Dr. James Masing berkata, sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN), bukan mudah untuk Ahli Parlimen dari parti itu melompat parti dalam masa terdekat.

"Saya tidak nampak akan ada wakil rakyat BN dari Sarawak yang akan melompat parti malah bagi saya, ia hanya satu mimpi yang mustahil.

"Sarawak adalah negeri Bumi Kenyalang dan bukannya bumi katak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Bolehkah Kita Mengurus Masa Hadapan' di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anwar yang dikatakan terus memujuk ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak supaya keluar parti dan menyertai pembangkang sekali gus membolehkan beliau menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru pada 16 September ini.

Sementara itu, Masing berkata, keputusan penggabungan antara PRS dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) terserah kepada ahli jawatankuasa kedua-dua parti yang terlibat dengan perkara itu.

"Ahli jawatankuasa terbabit akan merangka mekanisme mengenai cadangan penggabungan itu," katanya.

Thursday, August 28, 2008

Pakatan Pembangkang: Yang tersirat dan tersurat



Perubahan politik di Sabah tidak akan berlaku

Barisan Nasional (BN) Sabah memberi jaminan tidak akan berlaku apa-apa perubahan politik di negeri ini meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh, semalam.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kemenangan itu langsung tidak merangsang Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyertai pembangkang.

"Tidak ada sebab wakil rakyat UMNO atau BN Sabah perlu melompat parti untuk memenuhi impian Anwar menubuhkan sebuah kerajaan baru. Perkara ini tidak akan menjadi kenyataan.

"Ini kerana kerajaan baru yang dijanjikan Anwar belum tentu dapat menjamin pembelaan atau perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah seperti yang dilakukan BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, BN tidak perlu gentar atau terikut-ikut dengan permainan politik Anwar yang jelas tidak berasas.

Timbalan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin pula berkata, kemenangan itu tidak akan mempengaruhi wakil rakyat BN Sabah menyertai pembangkang.

''Kemenangan itu mungkin hanya memberi kekuatan untuk pembangkang bersuara lebih lantang di Dewan Rakyat, tidak lebih daripada itu dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, hasrat Anwar untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru hanya impian kerana tidak ada Ahli Parlimen Sabah yang menghiraukannya.

Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak perlu bersedia untuk satu 'perubahan baru' berikutan perkembangan itu.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, keputusan pilihan raya kecil tersebut membuktikan pengundi di Permatang Pauh yang 69 peratus Melayu menolak politik perkauman yang dibawakan BN.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, pula mengulangi kenyataannya bahawa ahli-ahli Parlimen BN Sabah akan keluar dan bergabung dengan pakatan rakyat.

''Saya percaya jumlah yang ingin melompat parti sekarang lebih daripada 13 orang.

''Masyarakat mahu perubahan dan sudah menjadi tanggungjawab wakil rakyat yang dipilih untuk melakukan perubahan itu," katanya.

Pengundi hanya agungkan Anwar

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Noh Omar berkata, penduduk khususnya pengundi di Permatang Pauh jelas lebih mengagungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memilih pembangunan yang akan dibawa Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan tersebut akan membuatkan Permatang Pauh terus ketinggalan seperti sebelum ini.

"Kita boleh lihat sehingga ke hari ini, kemiskinan masih berleluasa dan pembangunan terus ketinggalan di Permatang Pauh sejak di bawah wakil rakyat PKR sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.

Noh berkata, BN sudah memberikan tentangan dan cuba menawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk penduduk di situ sekiranya memilih calon BN tetapi tetap ditolak.

Katanya, kemenangan Anwar pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh juga sudah dijangka dan bukan sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata, penduduk di situ masih ingat dan menghargai beliau ketika menjadi wakil rakyat di situ dan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Semua orang tahu bahawa Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar sejak beliau menjadi wakil rakyat di situ, jadi tidak hairanlah mengapa beliau boleh menang di situ.

"Kemenangan ini bukan suatu yang luar biasa, Barisan Nasional (BN) sudah pun menjangkakannya dan tidak terperanjat. Kalau BN yang menang, ini baru boleh dipanggil luar biasa," katanya.

Wednesday, August 27, 2008

Kemenangan Anwar hanya kerana sentimen simpati

Kemenangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menunjukkan pengaruh beliau masih lagi kuat walaupun banyak isu berbangkit dikaitkan terhadapnya.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain (gambar) berkata, kemenangan Anwar di Permatang Pauh adalah berpunca daripada simpati rakyat terhadap dirinya.

Katanya, isu-isu yang berbangkit ketika pilihan raya meningkatkan lagi kepercayaan pengundi bahawa Anwar telah dianiaya menyebabkan kempen Barisan Nasional (BN) kurang berkesan.

''Selain itu, isu-isu dalaman UMNO yang masih tidak selesai mengurangkan lagi minat rakyat untuk mengundi BN," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Presiden Pergerakan Antarabangsa Dunia Adil (JUST), Dr. Chandra Muzaffar pula menganggap kemenangan PKR itu adalah berpunca daripada ketaksuban pengundi Permatang Pauh.

Katanya, ketaksuban itu adalah amat merugikan kerana ia akan menolak penilaian secara adil dan saksama.

''Selain itu, PKR juga dapat menarik undi daripada semua kaum dengan mesejnya untuk membela rakyat bukan Melayu dan hubungan baiknya dengan Pas," jelas beliau.

Pilihanraya paling ganas dalam sejarah

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kali ini disifatkan yang paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan banyak insiden tidak diingini dari hari penamaan calon 10 hari lepas hingga pengundian ditutup petang ini.

Sehingga semalam, menurut polis, sebanyak 71 laporan diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat.

Polis berkata, sebahagian besar laporan dibuat terhadap pihak penyokong pembangkang dan jumlah itu dijangka meningkat hari ini.

Menurut beberapa pemerhati politik, peratusan keluar mengundi 63 peratus yang dianggap rendah bagi pilihan raya kecil apabila pengundian ditutup 5.00 petang ini mungkin dipengaruhi oleh faktor keganasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam mengakui, pilihan raya kecil ini sebagai yang paling ganas dan agresif dalam sejarah negara ini.

Katanya, pilihan raya ini juga luar biasa berikutan pelbagai insiden yang tidak diingini berlaku semasa kempen berlangsung sejak 16 Ogos lepas.

Perbuatan ganas bermula dengan insiden dua jurugambar bertugas dipukul sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari penamaan calon di Jalan Mengkuang di bawah jejantas Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE).

Mereka turut menceroboh Bilik Gerakan Wanita Barisan Nasional (BN), mengugut bakal pengundi dan menyerang kenderaan dinaiki oleh pemimpin BN.

Dalam insiden terbaru dua hari lepas, bilik hotel Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datin Paduka Sharifah Noli Syed Hussein diceroboh dan dua komputer riba yang menyimpan banyak maklumat penting dicuri.

Turut merasa bahang keganasan parti pembangkang itu ialah Puteri UMNO apabila beberapa anggotanya diancam dengan objek menyerupai dinamit diletakkan di bilik gerakannya di Kubang Semang.

Keganasan penyokong PKR semakin menjadi-jadi apabila pada hari pengundian hari ini, sebanyak tiga bas pesiaran ditahan sekumpulan penyokong parti selepas Plaza Tol Butterworth-Kulim Expressway pada pukul 2.45 petang.

Kumpulan kira-kira 20 lelaki memakai baju-T dan vest PKR menghalang tiga buah bas pesiaran yang tidak diketahui dari mana dan hendak ke mana.

"Tindakan pantas polis berjaya mengawal keadaan di situ dan kita mengarahkan bas berkenaan meneruskan perjalanan sementara kumpulan lelaki itu disuraikan," kata Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Supt. Shaharon Anuar Abdul Malik.

Beliau berkata, walaupun 6,000 anggota polis dikerahkan dianggap banyak, mereka terpaksa bekerja keras bagi mengawal keadaan berikutan kebanjiran kira-kira 40,000 orang luar di Permatang Pauh.

"Sejak awal pagi tadi (hingga petang), kebanyakan anggota saya masih belum sempat makan tengah hari kerana menjalankan tugas," katanya.

Pilihan raya kecil itu disertai calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia Hanafi Mamat.

Ia diadakan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi semula kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas mengosongkannya pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding.

Kerajaan akan lakukan perubahan bagi kembalikan keyakinan rakyat – TPM

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan akan melakukan perubahan yang perlu bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Merujuk kepada kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN menghormati keputusan pengundi Permatang Pauh yang memberi kemenangan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil itu mencerminkan amalan demokrasi yang segar di negara ini dan jelas menunjukkan tiada unsur manipulasi.

Bagaimanapun, katanya, BN akan mengkaji dengan mendalam kelemahan jentera pilihan rayanya walaupun ia sebenarnya berjalan dengan baik.

‘‘Secara umum, jentera pilihan raya BN berjalan amat baik, tetapi satu kajian perlu dilakukan bagi mencari kelemahan dan faktor kenapa BN gagal menawan kerusi ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Kata Najib lagi, walaupun BN kalah, namun segala janji yang diumumkan untuk penduduk akan tetap dilaksanakan.

‘‘(Apa pun) Kita akur dengan keputusan pengundi Permatang Pauh yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkhidmat untuk mereka dan berharap dia akan memainkan peranan yang membawa kepada kesejahteraan dan amalan demokrasi negara,” katanya.

Penasihat PKR itu yang memperoleh 31,195 undi menewaskan Datuk Arif Shah Omar Shah yang meraih 15,524 undi, manakala seorang lagi calon, Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hilang wang deposit apabila hanya meraih 92 undi.

Najib berkata, meskipun BN kalah, penghargaan masih perlu diberikan kepada penduduk Permatang Pauh yang mengundi Arif Shah.

‘‘Kita jangkakan dapat kurangkan majoriti Anwar, tapi nampaknya faktor sentimen masih kuat di Permatang Pauh kerana ini kubu kuatnya,” katanya.

Mengenai isu liwat melibatkan Anwar, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia mungkin relevan di peringkat nasional tetapi bukan di Permatang Pauh.

BPR ambil keterangan Nallakarupan soal rasuah Anwar

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mengambil keterangan Datuk S. Nallakaruppan berhubung dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian Magnum Corporation Berhad.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, beberapa pegawainya akan menemui bekas sahabat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, ini bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Nallakarupan itu dan pada masa yang sama membolehkan BPR mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau menjelaskan, BPR tidak semestinya menunggu seseorang membuat laporan kepada agensi itu untuk memulakan siasatan.

"Tak semestinya tunggu sampai dapat laporan, kalau benar wujud unsur rasuah, kita sendiri akan ambil keterangan daripada mereka yang membuat dakwaan dan kemudian boleh memulakan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sijil kepada peserta Kursus Sijil Eksekutif bagi Pengurusan Strategik Program Anti Rasuah di Akademi BPR di sini hari ini.

Kursus antarabangsa selama dua minggu bermula 12 Ogos lalu itu disertai 20 pegawai agensi anti rasuah dari Brunei, Bhutan, Malaysia, Mongolia dan Nigeria.

Abu Kassim menambah, sebaik keterangan Nallakarupan diambil dan maklumat berkaitan dikumpulkan, pihaknya akan membuat keputusan sama ada meneruskan siasatan atau sebaliknya.

Sabtu lalu, Nallakaruppan, yang pernah menjadi Pengarah Perhubungan Awam Magnum mendedahkan, Anwar pernah menerima RM60 juta daripada Magnum Corporation Bhd.

Beliau turut mendedahkan, ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Anwar meluluskan banyak lesen perjudian untuk kedai empat nombor ekor.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu saman fitnah yang difailkan oleh dua ahli Exco negeri Perak terhadap BPR, Abu Kassim memberitahu:

"Biarlah undang-undang menentukan siapa bersalah atau sebaliknya. Pegawai penguat kuasa kami menyiasat berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh. Kita tengoklah nanti siapa yang bersalah."

Muhyiddin kecewa trend undi di Permatang Pauh

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh, semalam mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti yang lebih besar.

Walaupun Barisan Nasional (BN) menerima dan menghormati keputusan itu selaras sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, beliau berkata, keputusan itu membangkitkan persoalan adakah segala penjelasan yang diberikan jentera BN berhubung pelbagai dakwaan pembangkang langsung tidak berhasil.

"Saya kira kita (BN) perlu mengambil ini (keputusan) sebagai isyarat bahawa rakyat tidak menerima penjelasan pucuk pimpinan kita, seolah-olah mereka sudah membuat keputusan bahawa BN tidak akan menang.

"Walaupun ia berlaku di kawasan kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini tidak boleh dipandang ringan kerana kita bimbang ia akan jadi trend yang berterusan pada masa depan apabila pengundi membuat keputusan mereka mahukan perubahan, walaupun mungkin mereka sendiri tidak tahu apa (bentuk) perubahan yang mereka mahukan.

"Ini satu isyarat yang tidak boleh dipandang ringan walaupun kita harap trend ini hanya berlaku dalam pilihan raya di Permatang Pauh. Ia seharusnya menjadi pengajaran dan isyarat jelas kepada Umno dan BN bahawa ia semakin terdesak untuk membuat perubahan jika ia mahu terus kekal relevan dan diterima," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ditemui di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Kewangan Asean (AEM) ke-40 dan beberapa mesyuarat berkaitan hingga Khamis ini.

Katanya, keputusan itu perlu menjadi sesuatu yang menakutkan Umno dan BN kerana ia seolah-olah mengesahkan lagi rakyat mahukan perubahan yang cepat dan segera.

"Saya tak mahu mengulas mengenai perubahan pucuk pimpinan, nanti orang salah faham lagi. Tapi, pilihan raya umum dan kini pilihan raya kecil sudah berlalu namun trend (kehendak rakyat) tidak bertambah baik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk meramal sama ada kemenangan Anwar di Permatang Pauh akan menjadi titik tolak sekumpulan Ahli Parlimen BN melompat parti kerana desas desus begitu sudah lama timbul tetapi belum terjadi hingga kini.

Monday, August 18, 2008

Bapa pertahankan sumpah anaknya, Saiful

Azlan Mohd. Lazim, bapa Mohd. Saiful Bukhari, mempertahankan tindakan anaknya mengangkat sumpah di masjid bagi membuktikan dakwaannya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, upacara sumpah laknat pada Jumaat lalu itu adalah mengikut syariat Islam kerana ia dibuat selepas Mohd. Saiful mendapat nasihat daripada ulama.

Azlan menegaskan, tiada sebab untuk anaknya mengangkat sumpah sekali lagi walaupun ada pihak cuba mempertikaikan cara yang digunakannya sehingga ada pemimpin Pas sanggup menyamakan sumpah yang dibuat di dalam masjid itu dengan amalan Kristian.

Sehubungan itu, beliau mencabar pihak yang masih mempertikaikan sumpah laknat atau mubahalah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful supaya tampil mengemukakan contoh atau ‘cara Islam yang betul’ seperti dakwaan mereka.

“Saya yakin Mohd. Saiful telah menjalani proses mengangkat sumpah secara tertib mengikut apa yang disyariatkan dalam Islam.

“Ini termasuklah diadakan di dalam masjid pada hari Jumaat, dalam keadaan suci berwuduk, berkiblatkan Kaabah serta mengucapkan lafaz Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

“Kerana itu, saya mencabar mereka yang mengkritik Mohd. Saiful untuk tampil menunjukkan ‘cara yang betul’ bagi membuktikan kaedah yang digunakan oleh anak saya adalah salah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas perbuatan beberapa pihak, terutama para pemimpin Pas, yang tidak bersetuju dengan cara Mohd. Saiful mengangkat sumpah bagi membuktikan kebenaran dirinya diliwat oleh Anwar.

Mohd. Saiful, 23, melafazkan sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pada pukul 6.25 petang Jumaat lalu dengan disaksikan oleh Azlan, ahli-ahli keluarganya, imam Ramlang Porigi dan para pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Dalam sumpah itu, pemuda itu menegaskan bahawa Anwar telah meliwatnya pada 26 Jun lalu.

Azlan tidak menolak isu kaedah sumpah tersebut timbul kerana pihak-pihak yang terlibat mempunyai agenda politik masing-masing selain terlalu taksub dengan Anwar yang kini berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Beliau hairan dengan tindakan golongan itu yang mempertikaikan cara anaknya bermubahalah sedangkan upacara sumpah itu pertama kali dilakukan di negara ini.

“Saya minta mereka berhenti mempersoalkan perkara remeh sedemikian kerana anak saya telah mengangkat sumpah dengan cara yang betul di sisi Islam, bukan dengan pegangan agama lain.

“Yang penting keikhlasan dan keberanian beliau untuk menjalani proses itu tanpa keraguan... jadi hentikanlah mengkritik,’’ ujarnya.

Dalam hal ini, Azlan enggan mengambil peduli cakap-cakap orang. “Saya hanya berserah pada ketentuan Tuhan untuk membuktikan keadilan,” katanya.

Cadangan supaya Mohd. Saiful bermubahalah dicetuskan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada bulan Julai lalu.

Dalam reaksinya terhadap lafaz sumpah Mohd. Saiful yang antara lain mengatakan “jika saya berdusta saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah sehingga kiamat”, Dr. Mohd. Asri menggesa Anwar juga melakukan mubahalah.

“Jika Anwar juga bersumpah laknat seperti itu (Mohd. Saiful), maka jadilah mubahalah dan kita akan lihat hukuman Tuhan nanti,” katanya.

Raja Petra hanya boneka dan badut

Peguam terkenal Datuk Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin sebagai boneka kepada individu tertentu dalam propaganda perjuangan politik mereka.

Beliau turut menyifatkan Raja Petra seorang yang pengecut kerana tidak dapat mempertahankan diri dalam menyelesaikan kesnya di mahkamah dan sentiasa berselindung di sebalik kesalahan yang dilakukan.

"Dia (Raja Petra) seorang yang manusia yang pengecut seperti kata pepatah 'baling batu sembunyi tangan','' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafee menggunakan sidang akhbar itu untuk menafikan dakwaan penulis blog itu bahawa beliau terlibat dalam konspirasi 'tuduhan liwat' untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Raja Petra pada 6, 7 dan 11 Ogos lalu menulis artikel-artikel dalam laman Malaysia Today bertajuk Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire, Money, Power and Sex: What Motivated Man dan The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation.

Artikel-artikel itu, kata Shafee, mengandungi fitnah terhadapnya.

Menurut Shafee, tindakan Raja Petra mendakwanya mengadakan perjumpaan dengan beberapa pegawai polis di pejabatnya di Kuala Lumpur minggu lalu bagi tujuan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, pada tarikh yang didakwa itu, beliau sebenarnya berada di Kuching, Sarawak dan Terengganu atas urusan kerja sejak 28 Julai lalu.

"Saya yakin saya menjadi sasaran fitnah Raja Petra disebabkan khabar angin yang mengatakan saya bakal menjadi pendakwa raya khas dalam kes Anwar,'' katanya.

Khabar angin itu menyatakan Shafee akan menjadi pendakwa raya kes Anwar apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Khabar angin itu, katanya, adalah tidak benar.

Malah kata Shafee, tulisan pada papan putih di pejabatnya yang disentuh Raja Petra dalam artikelnya tidak pernah dipadamkan sejak Mac lalu.

Anwar yang diwakili sembilan peguam bela ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful dan kes yang dibicarakan mengikut Seksyen 377B itu akan disebut semula 10 September ini.

Sehubungan itu, Shafee mencabar Raja Petra membuktikan kenyataannya dalam laman web Malaysia Today di mahkamah.

"Biar mahkamah yang tentukan siapa yang benar dan salah. Ini kerana jika Raja Petra merasakan apa yang ditulis itu betul, maka dia berhak pertahankan diri.

"Malah, jika dia tidak mampu bayar kos peguam untuk lawan saya, saya sanggup bayar peguam itu untuk dia kerana dia bukan sahaja muflis dari segi kewangan tapi juga dari segi kredibiliti dan idea," katanya.

Sebagai tindakan susulan, Shafee membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah Raja Petra itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 6.20 petang ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana sebahagian besar artikel dalam blog tersebut boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat kerana ia berbentuk hasutan.

"Artikel itu cenderung ke arah kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 3 dan 4, Akta Hasutan 1948,'' katanya.

Jumaat lalu, Shafee bertindak mencampakkan writ saman dan perintah mahkamah ke lantai sebuah mahkamah di Jalan Duta di sini selepas Raja Petra enggan menerimanya.

Pada 13 Ogos lalu, Shafee berjaya mendapatkan perintah mahkamah daripada Mahkamah Tinggi agar Raja Petra menarik balik tiga artikel yang disiarkan dalam laman Malaysia Today yang didakwa memfitnahnya.

Anwar takut untuk bersumpah

DI Guar Perahu, Penanti, Seberang Perai pada Jumaat lalu, satu keluarga di sebuah rumah begitu asyik menonton satu slot berita di televisyen.

Mereka yang terdiri daripada sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an bersama tiga anak belasan tahun dan awal 20-an berserta seorang cucu saling berbalas pendapat.

"Itu bapa (Mohd.) Saiful, kalau ikut logiklah, takkan seorang bapa sanggup duduk di sebelah anaknya di masjid melihat upacara bersumpah yang disebutkan. Takkan ada bapa sanggup anaknya mempermain-mainkan sumpah seperti itu..

"Lagipun abah, ini sumpah, jangan main- main... kami pun tak sanggup bersumpah macam ni... dalam rumah Allah pula tu, pegang al-Quran, nanti kena panah petir.

"Lagi pun abah, kalau dia seorang sahaja yang buat (upacara) sumpah ini, mungkin orang boleh persoalkan tapi ini ditemani pula oleh bapanya. Nanti kalau tidak betul laknat tujuh keturunan... takkan bapa dia sampai macam tu," kata si anak tetapi ia tidak disahut oleh abahnya yang begitu serius melihat dua slot program berita tersebut.

Pada 15 Ogos lalu, Mohd. Saiful, 23, yang juga bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya bersumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Dalam upacara yang berlangsung di Dewan Solat Utama Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta berkenaan, Mohd. Saiful yang berbaju Melayu coklat menghadap kiblat sebelum melafazkan: "A'uzubillahi minas syaitanirrajim. Bismillahir rahmanir rahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi."

Memandang sayu di sisi sebelah kiri Mohd. Saiful ialah bapa pemuda itu, Azlan Mohd. Lazim.

Perbualan kira-kira 20 minit di rumah pasangan suami isteri di Guar Perahu itu, iaitu antara kubu kuat PKR di Permatang Pauh, mencetuskan polemik di antara bapa dan anaknya.

Si bapa bagaimanapun membangkitkan rasa ragunya. Dengan tegas, dia menyatakan barangkali sumpah itu 'permainan licik' seteru politik Anwar.

Si bapa mempersoalkan mengapa upacara itu dilakukan menjelang hari penamaan pilihan raya kecil Permatang Pauh keesokannya (16 Ogos).

Tetapi si anak juga ada alasannya yang tersendiri. "Kenapa Anwar tak sahut cabaran Saiful ini supaya bersumpah sama. Kalau tak salah, buatlah (bersumpah) perkara yang sama... terus 'tutup buku' semua dakwaan yang dituduh ke atas dia," ujarnya. Bapanya terdiam.

Di Kubang Semang, Permatang Pasir; Kuala Mengkuang dan Guar Perahu dalam beberapa hari ini, sebahagian besar pengikut PKR yang rata-rata dalam lingkungan umur 28 hingga 40 tahun sukar menerima kenyataan dakwaan kes liwat membabitkan Anwar.

Kata mereka, ia merupakan tuduhan untuk menganiaya ketuanya.

Namun ketika wartawan Utusan Malaysia meninjau gerai-gerai menjual cakera padat digital (VCD) ucapan-ucapan politik Anwar di Guar Perahu dan Kubang Semang semalam, kedengaran satu perbualan di kalangan penyokong warga emas PKR.

Antara lain mereka turut 'menimbang- nimbang' secara rasional dan dari hati kecil bahawa sumpah yang dilafazkan Mohd. Saiful mungkin ada kebenarannya. "Kalau betul tak salah, lakukanlah sumpah yang sama," kata mereka.

Anwar seperti biasa tidak menyahut cabaran Mohd. Saiful. "Sumpahlah sampai 50 kali pun saya tidak peduli," katanya dalam satu ceramah.

Dan sekali lagi dalam satu ceramah di Yayasan Aman semalam, Anwar berkata: "Dok heboh pasal sumpah. Cabar saya nak sumpah itu sumpah ini. Nak sumpah apa?

"Saya sudah kata pada mereka, saya boleh bersumpah dengan bimbingan para ulama, tapi rakan-rakan nasihatkan kata supaya saya tidak berbuat demikian. Ulama dari luar negara hantar surat berjela-jela menasihatkan saya... Anwar, jangan sesekali lakukannya (bersumpah)... jangan persendakan agama."

Seperti yang dimusykilkan oleh si anak tadi, mengapa Anwar enggan bersumpah kalau benar dia tidak melakukan perbuatan itu? Demikian juga reaksi beberapa pemimpin agama.

"Sumpah tersebut ada pemberatnya atau taghliz alyamin kerana ia dibuat pada waktu Asar di hari Jumaat di sebelah mimbar masjid dengan nama Allah yang merupakan pemberatnya," kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar.

Demikian juga dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa untuk melakukan mubahalah dalam Islam cukup dengan hanya melafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Bagi pensyarah Jabatan Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, beliau percaya apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful adalah untuk mengurangkan beban yang dihadapinya.

Pada masa ini, kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh sedang rancak berjalan walaupun orang ramai dapat merasakan suasana yang agak agresif dan tegang apabila melalui pondok-pondok panas parti-parti yang bertanding.

Mengikut hasil kajian sekumpulan penyelidik selepas Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, dianggarkan terdapat 9,429 pengundi 'atas pagar' di kerusi P.044 Permatang Pauh. Masing-masing seramai 3,308 orang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, DUN Permatang Pasir (3,468) dan DUN Penanti (2,653).

Pecahan undi yang diraih pada 8 Mac lalu ialah calon BN memperoleh 16,479 manakala PKR sebanyak 30,281. Jumlah undi majoriti penyandang kerusi ialah 13,801 undi.

Sumpah yang dilafazkan Mohd. Saiful akan terus 'berlegar' dalam ceramah-ceramah Anwar dan sudah pasti menjadi isu pilihan raya kecil Permatang Pauh. Soal sama ada beliau akan mengikut langkah sama bagi membersihkan namanya terus dinantikan oleh pengundi Permatang Pauh.

Sering kritik media dorong penyokong mengasari pihak media

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menyelar media arus perdana semasa mengadakan ceramah politik mungkin mendorong penyokongnya bertindak ganas terhadap kakitangan media.

Mengakui yang perkara itu mungkin menjadi punca kepada tindakan penyokongnya menyerang anggota media, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata: "Saya setuju...saya akan lakukan (memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa kritikan itu hanya terhadap dasar media dan bukannya terhadap kakitangan media) mulai malam ini.

"Kami tidak pernah terniat untuk mempersoalkan atau mencederakan pemberita atau (kakitangan) media."

Bercakap pada sidang akhbar di pusat media PKR di Yayasan Aman, Kubang Semang dekat sini hari ini, Anwar berkata, kritikan beliau terhadap media arus perdana "tidak harus dianggap sebagai serangan peribadi" terhadap kakitangan media tetapi dasar syarikat (mereka).

"Anda betul untuk mempersoalkan (saya) supaya mengingatkan rakan dan penyokong kami, (tetapi) pendirian kami ialah kami tidak mahu (laporan) yang berat sebelah, memfitnah dan berniat jahat semasa pilihan raya," katanya sebagai jawapan kepada insiden dua jurugambar akhbar, termasuk seorang jurugambar agensi berita asing, diserang sekumpulan lelaki yang memakai kemeja T yang mempunyai lambang parti itu.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohd. Sairen Mohd Nafis, 26, dan Halim Berbar dari HBL Press News di Perancis diserang sekumpulan lelaki dekat pusat penamaan calon di perkarangan Institut Tuanku Bainun, Mengkuang dekat sini.

PAS mula curigai PKR

Pas kini mula curiga dan sangsi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehinggakan ada cakap-cakap adalah lebih baik Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi sendiri menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini menunjukkan belum ada jaminan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkannya sebelum ini.

"Pas telah mula sangsi dengan PKR. Jika dilihat di Permatang Pauh, mana ada bilik gerakan Pas.

"Malah dalam muktamar Pas, ada bunyi-bunyi (Abdul) Hadi lebih baik jadi Perdana Menteri, jadi belum ada jaminan Anwar akan jadi Perdana Menteri.

"Kalau 30 Ahli Parlimen BN lompat, baru Anwar jadi Perdana Menteri, itu pun kalau Pas setuju," kata Najib ketika berucap pada majlis mesra rakyat di bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di Permatang Janggus di sini hari ini.

Pada sidang akhbar kemudian, Najib berkata, BN tidak mengeksploitasi kes liwat melibatkan Anwar dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerana ia adalah perkara peribadi di antara kedua-duanya.

"Tindakan (Mohd) Saiful bersumpah itu akan menimbulkan perdebatan terutama di kalangan ahli BN dan parti politik lain.

"Ia bergantung kepada parti politik mana yang disokong," katanya.

Sementara itu, malam ini, mengulas mengenai sumpah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak patut menghormatinya kerana langkah yang diambil itu adalah bertujuan untuk membela dirinya.

"Proses angkat sumpah itu ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dilakukan selepas solat Asar, di sebelah mimbar sambil menjunjung al-Quran.

"Jadi siapa kata proses itu tidak betul? Sebenarnya ada orang yang menggelabah dan terdesak sehingga masuk ke kedutaan asing," katanya.

Sunday, August 17, 2008

Kisah Nabi Lut dan Kaum Peliwat

Lut adalah antara orang-orang salih yang diangkat oleh Allah untuk menjadi seorang daripada Nabi-Nabi-Nya. Dia juga seorang utusan atau rasul. Kepadanya Allah memberikan Putusan dan pengetahuan.

Nabi Ibrahim mengenalinya. Mereka hidup pada masa yang sama tetapi di tempat yang berlainan. Nabi Lut percaya kepada apa yang Nabi Ibrahim diwahyukan. Nabi Lut dan kaumnya pula tinggal tidak jauh dari tempat Nabi Muhammad dan kaumnya tinggal.

Kaum Nabi Lut

Kaum Nabi Lut jahat. Mereka melakukan kesumbangan yang tidak pernah seseorang pun di seluruh dunia melakukan sebelum mereka. Mereka mendatangi lelaki dengan hawa nafsu, bukan perempuan, dan melakukannya juga di majlis-majlis.

Kejahatan mereka ditambah dengan mendustakan utusan Allah beserta amaran-amaran yang didatangkan kepada mereka. Mereka adalah sebenarnya orang-orang yang zalim, derhaka, berdosa, dan fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).

Seruan Nabi Lut

Nabi Lut telah memberitahu kaumnya bahawa dia adalah seorang rasul, dan menyeru mereka supaya takut kepada Allah. Dia turut menyatakan iaitu dia tidak meminta upah atas seruan yang dibuatnya. Seruannya yang lengkap berbunyi, "Tidakkah kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)? Aku, bagi kamu, adalah seorang rasul yang dipercayai, maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku. Aku tidak meminta kepada kamu upah untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Pemelihara semua alam. Apa, adakah kamu mendatangi lelaki daripada semua alam, Dengan meninggalkan isteri-isteri kamu yang Pemelihara kamu menciptakan untuk kamu? Tidak, tetapi kamulah kaum yang menderhaka."

Terhadap kejahatan yang dilakukan oleh kaumnya, Nabi Lut telah menegur lagi, "Apa, adakah kamu melakukan kesumbangan yang tidak pernah seseorang pun di semua alam melakukannya sebelum kamu? Kamu mendatangi lelaki-lelaki dengan hawa nafsu, bukan perempuan; tidak, kamulah kaum yang membazir (berlebihan)."

Dia juga bertanya, "Apa, adakah kamu melakukan kesumbangan dengan mata-mata kamu terbuka?"

"Apa, adakah kamu mendatangi lelaki, dan memotong jalan, dan kamu mendatangkan dalam majlis kamu, kemungkaran?" tanyanya lagi.

Selain mengatakan kaumnya menderhaka dan membazir, Nabi Lut telah mengatakan juga bahawa mereka adalah "kaum yang bodoh."

Jawapan Kaum Nabi Lut

Jawapan kaumnya tiada lain melainkan mengugut untuk mengusinya keluar dari kota. Mereka berkata, "Jika kamu tidak berhenti, wahai Lut, pasti kamu akan menjadi antara orang-orang yang diusir."

Sementara yang lain berkata, "Usirlah keluarga Lut daripada bandar raya kamu; mereka adalah orang-orang yang membersihkan diri!"

Dan ada pula yang sombong, yang minta didatangkan azab dengan berkata, "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu berkata benar."

Lalu Nabi Lut berkata kepada mereka dan berdoa kepada Tuhan berbunyi "Sesungguhnya aku adalah pembenci kepada amalan kamu. Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku dan keluargaku daripada apa yang mereka buat."

Dia memohon lagi, "Wahai Pemeliharaku, tolonglah aku terhadap kaum yang membuat kerosakan."

Sememangnyalah hanya kepada Tuhan dipohon pertolongan. Permohonan baginda dikabulkan Allah.

Kedatangan Malaikat

Maka Allah mengutuskan malaikat-malaikat kepadanya. Sebelum mereka berjumpa Nabi Lut mereka telah, terlebih dahulu, menemui Nabi Ibrahim. Tujuan adalah untuk menyampaikan berita gembira mengenai kelahiran seorang anak untuk Nabi Ibrahim, dan untuk memberitahunya tentang tugas mereka terhadap Nabi Lut dan kaumnya.

Mereka berkata, "Kami akan memusnahkan penduduk bandar raya ini, kerana penduduknya orang-orang yang zalim."

"Kami diutus kepada kaum yang berdosa, kecuali keluarga Lut; mereka akan kami menyelamatkan kesemuanya, kecuali isterinya; kami menentukan bahawa dia sesungguhnya termasuk orang-orang yang tinggal." ujar mereka lagi.

Apabila malaikat-malaikat atau rasul-rasul Allah datang kepada Lut, dia berasa susah dan cemas untuk mereka. Dia berkata "Inilah hari yang amat berat."

Dan berkata "Kamu adalah kaum yang aku tidak kenal," tatkala rasul-rasul itu mendampinginya.

"Wahai Lut, kami adalah rasul-rasul Pemelihara kamu."

"Jangan takut, dan jangan juga susah, kerana sesungguhnya kami akan menyelamatkan kamu dan keluarga kamu, kecuali isteri kamu; dia termasuk orang-orang yang tinggal. Kami akan menurunkan kepada penduduk bandar raya ini kemurkaan dari langit kerana mereka berbuat kefasiqan." kata mereka lagi.

Sebab mereka datang dijelaskan lagi dengan berkata, "Kami mendatangkan kepada kamu mengenai apa yang mereka meragui. Kami datang kepada kamu dengan yang benar, dan sesungguhnya kami berkata benar. Maka berjalanlah kamu dengan keluarga kamu pada sebahagian malam, dan ikutlah di belakang mereka, dan janganlah seseorang daripada kamu berpaling ke belakang; dan bertolaklah ke tempat yang kamu diperintahkan."

Akhirnya mereka berkata, "Waktu yang mereka dijanjikan ialah subuh; bukankah subuh sudah dekat?"

Kaum Sesat yang Gembira

Sejurus selepas rasul-rasul Allah datang kepada Lut, kaumnya datang kepadanya pula, berlari-lari ke arahnya, dengan gembira. Mereka berkeinginan pada tetamu-tetamu Lut.

Nabi Lut berkata kepada mereka, "Mereka ini tetamuku; janganlah memalukan aku. Dan takutilah Allah, dan janganlah mengaibkan aku."

Mereka menjawab, "Tidakkah kami telah melarang kamu daripada semua alam?" Kerana mereka telah, sebelum itu, melarang Nabi Lut daripada membuat sebarang hubungan dengan manusia lain.

Nabi Lut telah juga berkata, "Wahai kaumku, inilah anak-anak perempuanku; mereka lebih bersih bagi kamu. Maka takutilah Allah, dan janganlah mengaibkan aku pada tetamu-tetamu aku. Apa, adakah tidak ada seorang lelaki antara kamu yang berfikiran waras?"

Tawaran Nabi Lut supaya mereka mengambil anak-anak perempuannya sebagai ganti, dan rayuan supaya tidak memalukannya di depan tetamu-tetamunya telah ditolak. Mereka berkata, "Kamu mengetahui bahawa kami tidak patut terhadap anak-anak perempuan kamu, dan kamu mengetahui benar apa yang kami mengkehendaki."

Kemudian mereka menggoda tetamu-tetamu Nabi Lut pula. Tetapi mereka gagal.

Selepas itu, Nabi Lut dengan keluarganya beredar dari bandar raya itu pada waktu seperti yang disuruh. Akan tetapi, isterinya, seorang perempuan tua, tinggal di belakang.

Azab

Pada awal pagi, datang kepada kaumnya satu azab yang telah ditetapkan Allah. Suatu bunyi yang kuat, atau Teriakan, telah mengambil mereka pada waktu matahari terbit.

Dan bandar raya itu telah diterbalikkan, yang atasnya ke bawahnya. Angin ribut yang mengandungi batu diutuskan pula kepada mereka, bertubi-tubi. Batu-batu itu adalah daripada tanah liat yang dibakar serta ditanda di sisi Tuhan.

Begitulah buruknya balasan bagi orang-orang yang mendustakan amaran-amaran daripada Tuhan.

Allah telah menyelamatkan keluarga Nabi Lut pada waktu sebelum dinihari ke bumi yang Dia berkati bagi semua alam. Itu adalah satu rahmat daripada Dia, dan begitulah Dia membalas orang-orang yang bersyukur (berterima kasih). Ke tempat itu juga Nabi Ibrahim telah diselamatkan terlebih dahulu.

Isteri Nabi Lut

Keluarga Nabi Lut telah dirahmati Allah, kecuali isterinya, seorang perempuan tua. Dia tidak percaya dan mengkhianti Nabi Lut. Terdapat seorang lagi isteri Nabi yang serupa dengan isteri Nabi Lut, yang tidak percaya dan mengkhianti suaminya. Walhal, mereka berada di bawah dua hamba Allah yang salih, yang diangkat menjadi Nabi dan rasul. Kedua-kedua isteri tersebut akan dimasukkan ke dalam Api (neraka) pada Hari Kiamat.

Sesungguhnya terdapat pengajaran bagi para pelajar dalam kisah Nabi Lut. Bandar raya yang diterbalikkan itu, menurut Allah lagi, hanya mengandungi sebuah rumah orang-orang Muslim, iaitu rumah Nabi Lut, dan ia (bandar raya) pula berada di satu jalan yang masih berada, untuk menjadi satu amaran bagi semua manusia yang hidup selepas diturunkan kemurkaan dari langit tersebut.

Persatuan wartawan kecewa dengan tindakan samseng PKR

Beberapa persatuan wartawan hari ini kesal dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak menunaikan janji bagi memastikan insiden yang boleh menggugat keselamatan petugas media semasa liputan pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, tidak berulang.Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Md. Daud berkata, PKR tidak mengambil tindakan untuk melindungi anggota media yang membuat liputan pilihan raya kecil itu seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"PKR asyik minta maaf, tetapi tiada sebarang usaha dibuat bagi melindungi media (daripada diganggu penyokongnya)," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, insiden memukul jurugambar tempatan dan luar negara oleh penyokong parti itu semasa penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini adalah satu "insiden yang amat memalukan kerana turut melibatkan jurugambar asing yang menjalankan tugas tanpa ada kepentingan politik."

Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari tadi, jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohd. Sairen Mohd. Nafis, 26, dan jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar cedera dipukul sekumpulan penyokong pembangkang semasa proses penamaan calon itu.

Norila berkata, tindakan penyokong PKR itu "dah melampau, dah banyak kali" mereka bertindak mengkasari petugas media.

Sementara itu, pemangku Presiden Kelab Media Pulau Pinang, Zuraida Abdul Rahman berkata, ini merupakan insiden kali kedua dalam bulan ini di mana pengamal media dikasari dan dipukul oleh penyokong PKR dan ini amat membimbangkan kerana tindakan mereka semakin liar.

"Sebagai sebuah parti yang mendakwa mendokong kebebasan bersuara dan bermaklumat, tindakan itu dilihat tidak menepati apa yang mereka perjuangkan," katanya.

Beliau mendesak PKR mengotakan janji mereka berhubung keselamatan dan keselesaan petugas media membuat liputan pilihan raya kecil itu.

Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan, Mokhtar Hussain berkata, "kami mahu semua parti politik memastikan keselamatan pengamal media tempatan dan asing yang membuat liputan pilihan raya kecil kerana mereka hanya menjalankan tugas untuk orang ramai."

Beliau meminta parti-parti politik terutama pembangkang untuk menghormati kebebasan media dalam menjalankan tugas.

Katanya, insiden sedemikian akan mencemarkan imej negara dan "kami tidak mahu media asing melaporkan perkara buruk mengenai negara ini. Kami lebih terbuka dan insiden ini adalah tidak baik bagi kebebasan media."

Anwar khianati bangsa sendiri

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa apabila bersetuju dengan cadangan agar universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera.

Yang Dipertuanya, Lukmanulhakim Mohamad Idris berkata, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyokong cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebagai percubaan untuk memusnahkan peluang anak bangsanya untuk terus maju.

''Beliau seperti ingin mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana penubuhan UiTM adalah selaras dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan hak istimewa orang Melayu,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkara, persatuan pelajar itu amat kesal dengan tindakan Anwar yang menyokong cadangan Abdul Khalid supaya UiTM membuka kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera dan pelajar asing.

''Kenapa seorang pemimpin Melayu seperti beliau sanggup menyokong cadangan yang bakal meranapkan masa depan anak bangsanya sendiri,'' ujarnya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan cadangan Menteri Besar Selangor itu supaya kuota 10 peratus UiTM dibuka kepada bukan bumiputera dan bangsa asing malah menyifatkan jumlah tersebut adalah kecil dan tepat pada masanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Syukri Ibrahim berkata, seorang pemimpin Melayu tidak seharusnya menyokong cadangan tersebut kerana UiTM adalah hak masyarakat Melayu dan bumiputera.

Beliau berkata, Anwar tidak seharusnya menyokong sebarang cadangan untuk menggadaikan hak keistimewaan masyarakat Melayu dan bumiputera.

''Beliau seharusnya rasional dengan tindakannya menyokong cadangan tersebut kerana ia akan mencetuskan kemarahan masyarakat terutamanya Melayu dan bumiputera di negara ini.

''Sekiranya cadangan ini diluluskan, maka generasi masa depan akan menderita kerana harta mereka telah tergadai,'' katanya.

Yang Dipertua MPP Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd. Hafiz Asmadi berkata, seorang pemimpin Melayu tidak seharusnya mempertahankan sebarang cadangan yang bakal memusnahkan masa depan anak bangsanya sendiri.

Beliau menegaskan, sebagai seorang pemimpin, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada bangsa sendiri dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan.

''Kita sudah jauh ketinggalan dan UiTM adalah medan terakhir bumiputera untuk menghidupkan kembali persaingan di negara ini,'' katanya.

Nik Aziz akui sumpah Saiful ikut syariat Islam

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui cara bersumpah laknat (mubahalah) yang dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan semalam mengikut syariat Islam bagi membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, untuk melakukan mubahalah dalam Islam cukup dengan hanya melafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Menurutnya, mengikut hukum Islam apabila seseorang itu sudah bersumpah dan membatalkan balik sumpahnya, dia dimestikan membayar kafarah atau denda iaitu dengan menyembelih seekor kambing.

''Benda ni (mubahalah) bukan boleh dibuat main-main, azabnya cukup pedih walaupun kita nampak di dunia, di akhirat kelak tanggunglah nanti.

''Dan walaupun kesalahan itu sudah lepas tetapi itu bukan bermakna orang yang mengangkat sumpah itu sudah selesai tanggungjawabnya di dunia," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Anwar yang merupakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan borang pencalonan bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas tindakan Mohd. Saiful yang bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi menghilangkan keraguan orang ramai terhadap beliau selepas mendakwa diliwat oleh Anwar.

Dalam upacara yang berlangsung di Dewan Solat Utama masjid berkenaan, Mohd. Saiful, 23, bersumpah disaksikan beberapa pegawai masjid tersebut serta ahli keluarganya.

Turut hadir para pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), antaranya Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz juga menyatakan rasa khuatir beliau terhadap cara bersumpah mengangkat al-Quran yang disifatkannya meniru cara orang Kristian.

''Apa yang membimbangkan kita ketika ini, ramai beranggapan bahawa apabila mengangkat sumpah, mesti kena pegang al-Quran sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam."

''Pegang-pegang al-Quran ini sama seperti orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang Bible. Ini semua pengaruh yang tidak baik dan ditiru oleh orang Islam," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam sejarah Tanah Melayu terdapat dua orang pernah melakukan mubahalah iaitu bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Asri Muda di Masjid Kota Bharu dan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman di Masjid Alor Star.

Hishammuddin pertahan tindakan sumpah Saiful

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu masyarakat berfikir mengenai sebab Mohd. Saiful Bukhari Azlan sanggup mengangkat sumpah laknat (muhabalah) sekiranya beliau berniat mengaibkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim."Kalau kita berada dalam keadaan Mohd. Saiful, sanggupkah kita buat seperti itu (muhabalah), melakukannya dalam masjid dan disiarkan di khalayak ramai.

"Saya rayu kepada orang ramai cuba tanya pada diri sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini hari ini.

Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd. Nor mendesak Pas tampil mempertahankan cara Mohd. Saiful mengangkat sumpah kerana ia dilakukan mengikut proses Islam.

Menurut Ezam, memandangkan Anwar mempertikaikan sumpah tersebut, maka sebagai sebuah parti Islam, Pas harus mempertahankannya.

''Saya ada banyak kawan di kalangan parti Pas, jadi saya yakin mereka akan meletakkan Islam lebih daripada kepentingan lain.

"Saya percaya mereka akan melihat isu ini dengan serius dan berlaku adil kepada Saiful kerana bukan senang untuk seseorang itu melakukan sumpah laknat seperti yang dilakukan oleh bekas pembantu khas Anwar itu," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah pada proses penamaan calon.

Menurut Ezam, untuk berlaku adil kepada Mohd. Saiful, pihak-pihak yang mempertikaikannya perlu meneliti dakwaan berkenaan dan memberi ruang kepada Mohd. Saiful mendapatkan keadilan.

''Tetapi kalau saya sebagai Anwar, saya tidak akan cakap banyak, terus buat sumpah yang sama di masjid untuk membuktikan bahawa diri saya tidak bersalah," katanya.

UiTM terus desak Khalid buat permohonan maaf

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah bertegas akan terus menuntut permohonan maaf daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan cadangannya supaya universiti itu membuka kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera dan pelajar asing.Pada masa sama, katanya, jika Abdul Khalid tidak mahu berdepan dengan tindakan undang-undang, beliau juga perlu menarik semula dakwaan pelajar UiTM tidak mesra, tidak berkualiti dan tidak mempunyai daya saing.

"Jika dia tidak berbuat demikian, UiTM akan melakukan sesuatu mengikut undang-undang dan apa yang akan kami buat masih dalam rahsia.

"Saya bukan hendak tunjuk keras kepala, kalau tuduhan itu betul, saya akan senyap dan mengakuinya tetapi semua itu tidak benar sama sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Alumni Homecoming 2008 yang disertai lebih 3,000 alumni universiti itu di sini hari ini.

Rabu lalu Abdul Khalid tetap dengan pendirian tidak memohon maaf kepada UiTM setelah mencadangkan kuota 10 peratus diberikan kepada pelajar bukan bumiputera dan asing untuk memasuki universiti itu dengan alasan ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Menteri Besar itu yang memberikan alasan cadangan yang dikemukakannya bukan untuk mempersoalkan hak istimewa bumiputera dan penubuhan UiTM, sebaliknya mahukan isu itu yang mendapat bantahan banyak pihak, tidak perlu diperbesarkan lagi.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri sebaliknya akan terus berjuang mendesak sehingga Abdul Khalid memohon maaf ekoran kenyataannya tempoh hari memandangkan pihaknya mempunyai banyak bukti bahawa tuduhan yang dilemparkan Abdul Khalid adalah tidak berasas.

"Sebagai bukti, sebanyak kira-kira 70 peratus pelajar UiTM hari ini bekerja di sektor swasta bersama kaum lain dan ini menolak tuduhan Abdul Khalid bahawa pelajar kita tidak mesra.

"Kalau hendak kata kita tidak berkualiti pula, kita ada bukti dengan membawa pulang banyak kejayaan dan pingat emas dalam pertandingan peringkat antarabangsa mengalahkan universiti lain," ujarnya.

Beliau berkata, kekecewaan lebih 130,000 warga UiTM berhubung cadangan dan tuduhan Abdul Khalid nampak jelas apabila sebahagian besar daripada mereka berhimpun secara aman dan menghantar memorandum tanda protes.

"Saya tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian tetapi itu adalah reaksi spontan daripada mereka yang marah dan kecewa dengan tuduhan seorang pemimpin bangsa Melayu," jelasnya.

Sementara itu, Ibrahim turut menyuarakan kehairanannya dengan sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan cadangan supaya UiTM membuka 10 peratus kuota kepada bukan bumiputera.

"Ini semua bagi mempengaruhi undi semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang saya kira tindakan itu seperti menjual agama, bangsa dan negara," ujarnya.

Ahli kumpulan PKR belasah jurugambar pemberita














Baru masuk hari pertama berkempen, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dicemari kejadian tidak diingini apabila dua jurugambar termasuk seorang jurugambar agensi berita asing dipukul ketika menjalankan tugas.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong pembangkang, berdekatan pusat penamaan calon di Dewan Institut Perguruan Tunku Bainun di sini.

Mohd Sairien berkata, dia dalam perjalanan pulang ke hotel ketika penyokong pembangkang yang membawa bendera menyekat dan memukul penyokong Barisan Nasional (BN) yang menaiki pikap.

"Mereka mengeluarkan kata-kata kesat selain mengganggu pergerakan kenderaan di situ, khususnya yang dinaiki petugas BN," katanya.

Bagi mendapatkan sudut gambar terbaik, dia naik ke bahagian belakang pikap berkenaan dan mula merakamkan gambar kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba lebih 30 lelaki yang memakai baju t Parti Keadilan Rakyat (PKR) menariknya sehingga terjatuh dari pacuan empat roda itu.

"Mereka mengheret saya kira-kira 15 meter sebelum ditumbuk, terajang dan sepak di kepala, kaki, tangan dan badan," katanya.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit sebelum dia dibantu jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar yang turut dipukul. Kedua-dua mereka berjaya diselamatkan oleh polis yang menyedari kejadian itu.

Ketika dibelasah, katanya, dia cuba menyelamatkan kamera dan kad memori yang mengandungi gambar yang diambil ketika proses penamaan calon sebelumnya, tetapi dilarikan lelaki berkenaan.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak yang ditanya mengenai kejadian itu kesal sikap penyokong pembangkang itu dan meminta kedua-dua jurugambar itu membuat laporan polis.

"Perkara ini tidak patut dan ini menunjukkan ada sekumpulan dalam parti pembangkang yang menggunakan cara bertentangan dengan undang-undang dan menggunakan taktik untuk menakutkan pihak lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera keselamatan Barisan Nasional di Jalan Tanah Liat di sini, semalam.

"Saya minta pihak berkuasa ambil apa-apa tindakan yang patut untuk pastikan kejadian ini tidak berulang," katanya.

Najib, yang juga pengarah pilihan raya BN, berkata tindakan ini menggambarkan mereka terlalu ghairah hendak menang dan tidak mempedulikan undang-undang.

"Harap kejadian ini tidak berlaku lagi kerana cara begini akan menyebabkan penyokong kita (BN) akan menjadi tegang dan bertindak balas," katanya.

Malah, Timbalan Pengerusi BN itu berkata, pada penamaan calon pagi semalam, penyokong pembangkang "memang bertempik dan bersorak dan perbuatan itu tidak menunjukkan kematangan berdemokrasi."

Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan amaran kepada penyokong parti pembangkang supaya tidak bertindak ganas, beliau berkata: "Mereka bukan dengarpun cakap kerajaan. Mereka buat apa yang mereka suka."

Mengenai kesan kepada pemberita asing yang sedang membuat liputan pilihan raya kecil itu, Najib berkata: "Mereka akan membuat liputan dan akan memberi gambaran buruk terhadap sebahagian daripada rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan amalan demokrasi."

Ahli pembangkang talam dua muka jadi ahli PKR dan PAS dalam satu masa

SEORANG perwakilan dari Melaka semalam, mendedahkan ada ahli Pas memiliki dua identiti apabila turut mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membolehkan PKR mewujudkan parti pada peringkat cawangan.

Kamaruddin Sidek berkata, tindakan ahli Pas itu bertentangan dengan Fasa 13 Perlembagaan Pas sekali gus membolehkan ahli Pas dipecat kerana mempunyai dua keahlian.

Beliau berkata, jika tindakan itu dibiarkan berterusan akan menyebabkan ahli Pas semakin berkurangan ekoran berlaku pemecatan ahli.

“Ada ahli Pas sertai PKR untuk bentuk cawangan PKR seperti yang berlaku di Melaka dan ini berlawanan dengan Perlembagaan parti.

“Terdapat 6,232 cawangan Pas di seluruh negara dan jika kes itu tidak dibendung, mungkin pada muktamar tahunan akan datang, ahli Pas akan berkurangan.

“Kita juga mendesak pimpinan parti supaya menganjurkan konvensyen membincangkan hala tuju Pas dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-54, di sini.

Beliau turut membangkitkan isu muzakarah dan muqabalah kerana mengakui sepanjang isu itu disiarkan media, sikit sebanyak imej Majlis Syura Ulama tercalar.

Katanya, pimpinan pada peringkat Pusat perlu memikirkan sesuatu untuk mengembalikan imej Majlis Syura Ulama.

Kamaruddin turut menarik perhatian semua pihak terutama media apabila membuat cadangan mengharamkan media daripada membuat liputan di muktamar tahunan parti itu.

Beliau mendakwa media tidak pernah memberikan manfaat kepada parti itu kerana sering memutar belitkan isu.

“Media patut dihukum kerana mereka tidak pernah menyebelahi kita,” katanya.

Sementara itu perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Yusof Daud menggesa supaya Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat (JPP) distruktur semula bagi memastikan kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ketidakupayaan Pas memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan berbanding PKR adalah satu kegagalan JPP sedangkan jentera pilihan raya lebih jauh baik berbanding rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Struktur JPP wajar dilihat semula atau ‘diakilbalighkan’ untuk lihat kemenangan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu DAP memiliki lima kerusi selepas mengekalkan Kepong, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras dan merampas Segambut daripada MCA. PKR pula menawan Batu, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak, manakala Pas menerusi Dr Lo' Lo' Ghazali di Titiwangsa.

Yusof turut menyarankan supaya melihat peranan institut latihan perkaderan dengan lebih luas bagi membolehkan Pas tidak hanya sebagai pelengkap kepada parti lain sebaliknya sebagai peneraju yang disegani dan dihormati.

Anwar perlu sumpah junjung Al Quran kata Dr Mahathir

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan beliau tidak bersalah atas tuduhan liwat yang dihadapinya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Anwar perlu melakukannya (bersumpah atas nama al-Quran), bukannya sekadar berceramah mengatakan beliau tidak bersalah.

“Anwar perlu pegang al-Quran, junjung al-Quran, bukan hanya secara (mendakwa dalam) syarahan kata bersumpah dan kata tidak bersalah dengan tuduhan liwat.

“Kena sumpah betul-betul dengan menyebut nama Allah, baru boleh terima,” katanya selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan Mohd Saiful yang bersumpah atas nama al-Quran diliwat oleh Anwar di Masjid Wilayah Persekutuan, kelmarin.

Ditanya mengenai keputusan Mohd Saiful yang memilih cara Islam untuk membersihkan dirinya, Mahathir berkata, Mohd Saiful terpaksa berbuat demikian untuk membuktikan kebenaran dia diliwat Anwar.

“Itu adalah satu cara Saiful terangkan beliau tidak diliwat oleh Anwar. Dia memang percaya yang dia nyatakan kebenaran, tetapi orang tidak percaya, jadi inilah caranya.

“Perkara ini bukan boleh dapat saksi dan kena ada empat orang saksi yang perlu di bawa untuk membuktikannya. Tindakan bersumpah itu perlu disusuli dengan ujian DNA dan perkara lain untuk membuktikan kebenaran dakwaan liwat,” katanya.