Wednesday, August 27, 2008

Muhyiddin kecewa trend undi di Permatang Pauh

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh, semalam mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti yang lebih besar.

Walaupun Barisan Nasional (BN) menerima dan menghormati keputusan itu selaras sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, beliau berkata, keputusan itu membangkitkan persoalan adakah segala penjelasan yang diberikan jentera BN berhubung pelbagai dakwaan pembangkang langsung tidak berhasil.

"Saya kira kita (BN) perlu mengambil ini (keputusan) sebagai isyarat bahawa rakyat tidak menerima penjelasan pucuk pimpinan kita, seolah-olah mereka sudah membuat keputusan bahawa BN tidak akan menang.

"Walaupun ia berlaku di kawasan kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini tidak boleh dipandang ringan kerana kita bimbang ia akan jadi trend yang berterusan pada masa depan apabila pengundi membuat keputusan mereka mahukan perubahan, walaupun mungkin mereka sendiri tidak tahu apa (bentuk) perubahan yang mereka mahukan.

"Ini satu isyarat yang tidak boleh dipandang ringan walaupun kita harap trend ini hanya berlaku dalam pilihan raya di Permatang Pauh. Ia seharusnya menjadi pengajaran dan isyarat jelas kepada Umno dan BN bahawa ia semakin terdesak untuk membuat perubahan jika ia mahu terus kekal relevan dan diterima," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ditemui di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Kewangan Asean (AEM) ke-40 dan beberapa mesyuarat berkaitan hingga Khamis ini.

Katanya, keputusan itu perlu menjadi sesuatu yang menakutkan Umno dan BN kerana ia seolah-olah mengesahkan lagi rakyat mahukan perubahan yang cepat dan segera.

"Saya tak mahu mengulas mengenai perubahan pucuk pimpinan, nanti orang salah faham lagi. Tapi, pilihan raya umum dan kini pilihan raya kecil sudah berlalu namun trend (kehendak rakyat) tidak bertambah baik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk meramal sama ada kemenangan Anwar di Permatang Pauh akan menjadi titik tolak sekumpulan Ahli Parlimen BN melompat parti kerana desas desus begitu sudah lama timbul tetapi belum terjadi hingga kini.

No comments: