Friday, September 5, 2008

13 Bahagian Umno Pulau Pinang setuju Datuk Ahmad Ismail tak perlu minta maaf

Semua 13 Bahagian Umno Pulau Pinang hari ini bersetuju Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail tidak perlu minta maaf atas kenyataan berbau perkauman bulan lalu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rashid Abdullah di sini, petang ini.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Ahmad semasa ceramah pada kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu adalah fakta sejarah yang mengaitkan orang Cina sebagai kaum pendatang di negara ini.

Ahmad Ismail dakwa kenyataannya bedasarkan fakta sejarah

Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berkata beliau bukan seorang yang bersifat perkauman apabila membuat kenyataan orang Cina adalah menumpang di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana kenyataan itu merujuk kepada keadaan sebelum merdeka dan ia adalah fakta sejarah.

Beliau bagaimanapun mendakwa kenyataannya itu tersalah lapor oleh seorang pemberita yang membuat laporan yang tidak tepat.

Sehubungan itu, beliau tidak akan membuat permohonan maaf sebaliknya mahu pemberita terbabit berbuat demikian.

Ahli Parlimen Sarawak, Sabah bangga jadi asas BN

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak dan Sabah bangga berada dalam kerajaan BN yang sudah terbukti mampu membawa pembaharuan dan perubahan di kedua-dua negeri ini, kata Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Beliau berkata, dakwaan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Dr. Teo Yu Kheng bahawa ramai ahli Parlimen negeri ini akan berpaling tadah kepada pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan baru 16 September ini adalah tidak berasas.

Katanya, kenyataan Yu Kheng itu hanyalah sekadar bertujuan mengelirukan rakyat berhubung pendirian ahli Parlimen BN Sarawak terhadap kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

‘‘Tidak kira apa sekalipun yang akan terjadi, kami wakil rakyat dari BN Sarawak akan tetap meneruskan sokongan kepada BN.

‘‘Kami tahu pembangkang kini sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelirukan rakyat termasuk memperlekehkan pendirian wakil rakyat BN terhadap kerajaan sedia ada,’’ katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yu Kheng yang mendakwa ramai wakil rakyat Sarawak khususnya mereka yang enggan menandatangani surat jaminan setia kepada Perdana Menteri akan berpaling tadah menjelang 16 September ini.

Ahmad berkata, wakil rakyat BN sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan janji-janji pembangkang.

‘‘Kerajaan BN banyak berbudi kepada Sarawak dan begitu juga Sabah dalam aspek pembangunan rakyat di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah juga menyifatkan PKR sanggup berbohong kepada rakyat dengan mendakwa ada wakil rakyat negeri ini mahu melompat parti.

Saya tidak akan minta maaf isu hina kaum cina - Datuk Ahmad Ismail


Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail tetap berpegang teguh dengan pendiriannya tidak akan meminta maaf walaupun diminta pelbagai pihak berbuat demikian termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Sambil menyatakan rasa hormatnya atas permintaan Perdana Menteri itu, Ahmad berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian kerana yakin tidak bersalah seperti yang didakwa.

''Saya hormati Pak Lah sebagai pemimpin besar negara dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi saya juga menerima terlalu banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pelbagai pihak termasuk kawan- kawan yang meminta saya tetap dengan pendirian saya ini.

''Saya yakin saya tidak bersalah, buat apa saya perlu meminta maaf. Saya tetap berpegang teguh tidak akan meminta maaf walaupun diminta berbuat demikian oleh sesiapapun," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad mengulas seruan Perdana Menteri supaya beliau meminta maaf dalam masa seminggu ini berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat Cina hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu, adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said mengesahkan polis telah mengambil keterangan Ahmad malam semalam.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, keterangan diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Kenapa Melayu sahaja perlu minta maaf - Dr. Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan mengapa orang Melayu sering dituntut memohon maaf sekiranya mengeluarkan perkataan dan catitan yang boleh ditafsirkan sebagai perkauman.

Bekas Perdana Menteri berkata, sebaliknya apabila orang bukan Melayu mengeluarkan perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menuntut pihak tersebut memohon maaf.

Beliau memberi contoh memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri United Kingdom yang bukan sahaja penuh dengan unsur-unsur perkauman tetapi juga bersifat hasutan.

''Seorang penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta.

''Apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali.

''Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat," katanya dalam laman blognya, www.chedet.com.

Dr. Mahathir berkata, orang Melayu hari ini sebenarnya takut jika mereka dilabelkan perkauman.

Katanya, tahap ketakutan orang Melayu hari ini sehingga apabila hak mereka diburuk-burukkan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri.

''Sesungguhnya keadaan hubungan antara kaum bukan lebih baik hasil Pilihan Raya Umum 2008, tetapi ia menjadi amat buruk.

''Mungkin saya dituduh sebagai menyumbang kepada keadaan melalui tulisan saya, tetapi pada saya amatlah tidak adil jika satu pihak dapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh buka mulut," katanya.