Sunday, August 17, 2008

Ahli pembangkang talam dua muka jadi ahli PKR dan PAS dalam satu masa

SEORANG perwakilan dari Melaka semalam, mendedahkan ada ahli Pas memiliki dua identiti apabila turut mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membolehkan PKR mewujudkan parti pada peringkat cawangan.

Kamaruddin Sidek berkata, tindakan ahli Pas itu bertentangan dengan Fasa 13 Perlembagaan Pas sekali gus membolehkan ahli Pas dipecat kerana mempunyai dua keahlian.

Beliau berkata, jika tindakan itu dibiarkan berterusan akan menyebabkan ahli Pas semakin berkurangan ekoran berlaku pemecatan ahli.

“Ada ahli Pas sertai PKR untuk bentuk cawangan PKR seperti yang berlaku di Melaka dan ini berlawanan dengan Perlembagaan parti.

“Terdapat 6,232 cawangan Pas di seluruh negara dan jika kes itu tidak dibendung, mungkin pada muktamar tahunan akan datang, ahli Pas akan berkurangan.

“Kita juga mendesak pimpinan parti supaya menganjurkan konvensyen membincangkan hala tuju Pas dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-54, di sini.

Beliau turut membangkitkan isu muzakarah dan muqabalah kerana mengakui sepanjang isu itu disiarkan media, sikit sebanyak imej Majlis Syura Ulama tercalar.

Katanya, pimpinan pada peringkat Pusat perlu memikirkan sesuatu untuk mengembalikan imej Majlis Syura Ulama.

Kamaruddin turut menarik perhatian semua pihak terutama media apabila membuat cadangan mengharamkan media daripada membuat liputan di muktamar tahunan parti itu.

Beliau mendakwa media tidak pernah memberikan manfaat kepada parti itu kerana sering memutar belitkan isu.

“Media patut dihukum kerana mereka tidak pernah menyebelahi kita,” katanya.

Sementara itu perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Yusof Daud menggesa supaya Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat (JPP) distruktur semula bagi memastikan kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ketidakupayaan Pas memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan berbanding PKR adalah satu kegagalan JPP sedangkan jentera pilihan raya lebih jauh baik berbanding rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Struktur JPP wajar dilihat semula atau ‘diakilbalighkan’ untuk lihat kemenangan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu DAP memiliki lima kerusi selepas mengekalkan Kepong, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras dan merampas Segambut daripada MCA. PKR pula menawan Batu, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak, manakala Pas menerusi Dr Lo' Lo' Ghazali di Titiwangsa.

Yusof turut menyarankan supaya melihat peranan institut latihan perkaderan dengan lebih luas bagi membolehkan Pas tidak hanya sebagai pelengkap kepada parti lain sebaliknya sebagai peneraju yang disegani dan dihormati.

No comments: