Friday, August 29, 2008

Hujah Anwar 20 peratus fakta, 80 peratus retorik - Mukhriz

Kehadiran Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat tidak memberi sebarang kesan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana hanya 20 peratus daripada apa yang diucapkan oleh Anwar adalah fakta.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, 80 peratus daripada apa yang diucapkan oleh Anwar adalah retorik semata-mata.

''Beliau memanglah seorang pemidato dan pendebat yang baik selain mempunyai cara yang tersendiri dalam berhujah.

''Namun, jika analisis dilakukan ke atas apa yang diucapkannya hanyalah 20 peratus fakta dan 80 peratus lagi retorik,'' katanya.

Mukhriz ditemui selepas merasmikan Kempen Derma Darah Pra-Ramadan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Jelas beliau, kerajaan kini perlu bersedia dengan fakta-fakta yang diperlukan untuk menangkis hujah Anwar.

''Dan kerajaan sememangnya sentiasa bersedia dengan fakta-fakta untuk menepis hujah dari pihak pembangkang,'' katanya.

Mengulas mengenai rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri pada 16 September depan, Mukhriz berkata, ia merupakan satu ilusi semata-mata.

''Saya tidak fikir akan ada sebegitu ramai Ahli Parlimen BN yang akan lompat parti.

''Kemungkinan juga yang melompat bukan dari BN tetapi dari parti pembangkang kepada BN,'' katanya.

1 comment:

Muiz Misri said...

cayalah ...aku sokong dengan ko punya blog ni .

from :
www.muizmisri.com