Friday, August 29, 2008

Sarawak adalah negeri Bumi Kenyalang dan bukannya bumi katak

Parti Rakyat Sarawak (PRS) memberi jaminan tidak ada Ahli Parlimen dari parti itu yang akan menyertai pembangkang sebagaimana didakwa oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Seri Dr. James Masing berkata, sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN), bukan mudah untuk Ahli Parlimen dari parti itu melompat parti dalam masa terdekat.

"Saya tidak nampak akan ada wakil rakyat BN dari Sarawak yang akan melompat parti malah bagi saya, ia hanya satu mimpi yang mustahil.

"Sarawak adalah negeri Bumi Kenyalang dan bukannya bumi katak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Bolehkah Kita Mengurus Masa Hadapan' di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anwar yang dikatakan terus memujuk ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak supaya keluar parti dan menyertai pembangkang sekali gus membolehkan beliau menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru pada 16 September ini.

Sementara itu, Masing berkata, keputusan penggabungan antara PRS dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) terserah kepada ahli jawatankuasa kedua-dua parti yang terlibat dengan perkara itu.

"Ahli jawatankuasa terbabit akan merangka mekanisme mengenai cadangan penggabungan itu," katanya.

No comments: