Sunday, August 17, 2008

Anwar khianati bangsa sendiri

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa apabila bersetuju dengan cadangan agar universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera.

Yang Dipertuanya, Lukmanulhakim Mohamad Idris berkata, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyokong cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebagai percubaan untuk memusnahkan peluang anak bangsanya untuk terus maju.

''Beliau seperti ingin mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana penubuhan UiTM adalah selaras dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan hak istimewa orang Melayu,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkara, persatuan pelajar itu amat kesal dengan tindakan Anwar yang menyokong cadangan Abdul Khalid supaya UiTM membuka kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera dan pelajar asing.

''Kenapa seorang pemimpin Melayu seperti beliau sanggup menyokong cadangan yang bakal meranapkan masa depan anak bangsanya sendiri,'' ujarnya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan cadangan Menteri Besar Selangor itu supaya kuota 10 peratus UiTM dibuka kepada bukan bumiputera dan bangsa asing malah menyifatkan jumlah tersebut adalah kecil dan tepat pada masanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Syukri Ibrahim berkata, seorang pemimpin Melayu tidak seharusnya menyokong cadangan tersebut kerana UiTM adalah hak masyarakat Melayu dan bumiputera.

Beliau berkata, Anwar tidak seharusnya menyokong sebarang cadangan untuk menggadaikan hak keistimewaan masyarakat Melayu dan bumiputera.

''Beliau seharusnya rasional dengan tindakannya menyokong cadangan tersebut kerana ia akan mencetuskan kemarahan masyarakat terutamanya Melayu dan bumiputera di negara ini.

''Sekiranya cadangan ini diluluskan, maka generasi masa depan akan menderita kerana harta mereka telah tergadai,'' katanya.

Yang Dipertua MPP Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd. Hafiz Asmadi berkata, seorang pemimpin Melayu tidak seharusnya mempertahankan sebarang cadangan yang bakal memusnahkan masa depan anak bangsanya sendiri.

Beliau menegaskan, sebagai seorang pemimpin, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada bangsa sendiri dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan.

''Kita sudah jauh ketinggalan dan UiTM adalah medan terakhir bumiputera untuk menghidupkan kembali persaingan di negara ini,'' katanya.

No comments: