Sunday, August 17, 2008

Hishammuddin pertahan tindakan sumpah Saiful

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu masyarakat berfikir mengenai sebab Mohd. Saiful Bukhari Azlan sanggup mengangkat sumpah laknat (muhabalah) sekiranya beliau berniat mengaibkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim."Kalau kita berada dalam keadaan Mohd. Saiful, sanggupkah kita buat seperti itu (muhabalah), melakukannya dalam masjid dan disiarkan di khalayak ramai.

"Saya rayu kepada orang ramai cuba tanya pada diri sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini hari ini.

Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd. Nor mendesak Pas tampil mempertahankan cara Mohd. Saiful mengangkat sumpah kerana ia dilakukan mengikut proses Islam.

Menurut Ezam, memandangkan Anwar mempertikaikan sumpah tersebut, maka sebagai sebuah parti Islam, Pas harus mempertahankannya.

''Saya ada banyak kawan di kalangan parti Pas, jadi saya yakin mereka akan meletakkan Islam lebih daripada kepentingan lain.

"Saya percaya mereka akan melihat isu ini dengan serius dan berlaku adil kepada Saiful kerana bukan senang untuk seseorang itu melakukan sumpah laknat seperti yang dilakukan oleh bekas pembantu khas Anwar itu," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah pada proses penamaan calon.

Menurut Ezam, untuk berlaku adil kepada Mohd. Saiful, pihak-pihak yang mempertikaikannya perlu meneliti dakwaan berkenaan dan memberi ruang kepada Mohd. Saiful mendapatkan keadilan.

''Tetapi kalau saya sebagai Anwar, saya tidak akan cakap banyak, terus buat sumpah yang sama di masjid untuk membuktikan bahawa diri saya tidak bersalah," katanya.

No comments: