Monday, August 18, 2008

Sering kritik media dorong penyokong mengasari pihak media

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menyelar media arus perdana semasa mengadakan ceramah politik mungkin mendorong penyokongnya bertindak ganas terhadap kakitangan media.

Mengakui yang perkara itu mungkin menjadi punca kepada tindakan penyokongnya menyerang anggota media, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata: "Saya setuju...saya akan lakukan (memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa kritikan itu hanya terhadap dasar media dan bukannya terhadap kakitangan media) mulai malam ini.

"Kami tidak pernah terniat untuk mempersoalkan atau mencederakan pemberita atau (kakitangan) media."

Bercakap pada sidang akhbar di pusat media PKR di Yayasan Aman, Kubang Semang dekat sini hari ini, Anwar berkata, kritikan beliau terhadap media arus perdana "tidak harus dianggap sebagai serangan peribadi" terhadap kakitangan media tetapi dasar syarikat (mereka).

"Anda betul untuk mempersoalkan (saya) supaya mengingatkan rakan dan penyokong kami, (tetapi) pendirian kami ialah kami tidak mahu (laporan) yang berat sebelah, memfitnah dan berniat jahat semasa pilihan raya," katanya sebagai jawapan kepada insiden dua jurugambar akhbar, termasuk seorang jurugambar agensi berita asing, diserang sekumpulan lelaki yang memakai kemeja T yang mempunyai lambang parti itu.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohd. Sairen Mohd Nafis, 26, dan Halim Berbar dari HBL Press News di Perancis diserang sekumpulan lelaki dekat pusat penamaan calon di perkarangan Institut Tuanku Bainun, Mengkuang dekat sini.

No comments: