Wednesday, August 27, 2008

Pilihanraya paling ganas dalam sejarah

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kali ini disifatkan yang paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan banyak insiden tidak diingini dari hari penamaan calon 10 hari lepas hingga pengundian ditutup petang ini.

Sehingga semalam, menurut polis, sebanyak 71 laporan diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat.

Polis berkata, sebahagian besar laporan dibuat terhadap pihak penyokong pembangkang dan jumlah itu dijangka meningkat hari ini.

Menurut beberapa pemerhati politik, peratusan keluar mengundi 63 peratus yang dianggap rendah bagi pilihan raya kecil apabila pengundian ditutup 5.00 petang ini mungkin dipengaruhi oleh faktor keganasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam mengakui, pilihan raya kecil ini sebagai yang paling ganas dan agresif dalam sejarah negara ini.

Katanya, pilihan raya ini juga luar biasa berikutan pelbagai insiden yang tidak diingini berlaku semasa kempen berlangsung sejak 16 Ogos lepas.

Perbuatan ganas bermula dengan insiden dua jurugambar bertugas dipukul sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari penamaan calon di Jalan Mengkuang di bawah jejantas Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE).

Mereka turut menceroboh Bilik Gerakan Wanita Barisan Nasional (BN), mengugut bakal pengundi dan menyerang kenderaan dinaiki oleh pemimpin BN.

Dalam insiden terbaru dua hari lepas, bilik hotel Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datin Paduka Sharifah Noli Syed Hussein diceroboh dan dua komputer riba yang menyimpan banyak maklumat penting dicuri.

Turut merasa bahang keganasan parti pembangkang itu ialah Puteri UMNO apabila beberapa anggotanya diancam dengan objek menyerupai dinamit diletakkan di bilik gerakannya di Kubang Semang.

Keganasan penyokong PKR semakin menjadi-jadi apabila pada hari pengundian hari ini, sebanyak tiga bas pesiaran ditahan sekumpulan penyokong parti selepas Plaza Tol Butterworth-Kulim Expressway pada pukul 2.45 petang.

Kumpulan kira-kira 20 lelaki memakai baju-T dan vest PKR menghalang tiga buah bas pesiaran yang tidak diketahui dari mana dan hendak ke mana.

"Tindakan pantas polis berjaya mengawal keadaan di situ dan kita mengarahkan bas berkenaan meneruskan perjalanan sementara kumpulan lelaki itu disuraikan," kata Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Supt. Shaharon Anuar Abdul Malik.

Beliau berkata, walaupun 6,000 anggota polis dikerahkan dianggap banyak, mereka terpaksa bekerja keras bagi mengawal keadaan berikutan kebanjiran kira-kira 40,000 orang luar di Permatang Pauh.

"Sejak awal pagi tadi (hingga petang), kebanyakan anggota saya masih belum sempat makan tengah hari kerana menjalankan tugas," katanya.

Pilihan raya kecil itu disertai calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia Hanafi Mamat.

Ia diadakan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi semula kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas mengosongkannya pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding.

No comments: