Monday, August 18, 2008

Raja Petra hanya boneka dan badut

Peguam terkenal Datuk Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin sebagai boneka kepada individu tertentu dalam propaganda perjuangan politik mereka.

Beliau turut menyifatkan Raja Petra seorang yang pengecut kerana tidak dapat mempertahankan diri dalam menyelesaikan kesnya di mahkamah dan sentiasa berselindung di sebalik kesalahan yang dilakukan.

"Dia (Raja Petra) seorang yang manusia yang pengecut seperti kata pepatah 'baling batu sembunyi tangan','' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafee menggunakan sidang akhbar itu untuk menafikan dakwaan penulis blog itu bahawa beliau terlibat dalam konspirasi 'tuduhan liwat' untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Raja Petra pada 6, 7 dan 11 Ogos lalu menulis artikel-artikel dalam laman Malaysia Today bertajuk Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire, Money, Power and Sex: What Motivated Man dan The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation.

Artikel-artikel itu, kata Shafee, mengandungi fitnah terhadapnya.

Menurut Shafee, tindakan Raja Petra mendakwanya mengadakan perjumpaan dengan beberapa pegawai polis di pejabatnya di Kuala Lumpur minggu lalu bagi tujuan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, pada tarikh yang didakwa itu, beliau sebenarnya berada di Kuching, Sarawak dan Terengganu atas urusan kerja sejak 28 Julai lalu.

"Saya yakin saya menjadi sasaran fitnah Raja Petra disebabkan khabar angin yang mengatakan saya bakal menjadi pendakwa raya khas dalam kes Anwar,'' katanya.

Khabar angin itu menyatakan Shafee akan menjadi pendakwa raya kes Anwar apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Khabar angin itu, katanya, adalah tidak benar.

Malah kata Shafee, tulisan pada papan putih di pejabatnya yang disentuh Raja Petra dalam artikelnya tidak pernah dipadamkan sejak Mac lalu.

Anwar yang diwakili sembilan peguam bela ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful dan kes yang dibicarakan mengikut Seksyen 377B itu akan disebut semula 10 September ini.

Sehubungan itu, Shafee mencabar Raja Petra membuktikan kenyataannya dalam laman web Malaysia Today di mahkamah.

"Biar mahkamah yang tentukan siapa yang benar dan salah. Ini kerana jika Raja Petra merasakan apa yang ditulis itu betul, maka dia berhak pertahankan diri.

"Malah, jika dia tidak mampu bayar kos peguam untuk lawan saya, saya sanggup bayar peguam itu untuk dia kerana dia bukan sahaja muflis dari segi kewangan tapi juga dari segi kredibiliti dan idea," katanya.

Sebagai tindakan susulan, Shafee membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah Raja Petra itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 6.20 petang ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana sebahagian besar artikel dalam blog tersebut boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat kerana ia berbentuk hasutan.

"Artikel itu cenderung ke arah kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 3 dan 4, Akta Hasutan 1948,'' katanya.

Jumaat lalu, Shafee bertindak mencampakkan writ saman dan perintah mahkamah ke lantai sebuah mahkamah di Jalan Duta di sini selepas Raja Petra enggan menerimanya.

Pada 13 Ogos lalu, Shafee berjaya mendapatkan perintah mahkamah daripada Mahkamah Tinggi agar Raja Petra menarik balik tiga artikel yang disiarkan dalam laman Malaysia Today yang didakwa memfitnahnya.

No comments: