Friday, August 29, 2008

BN Sabah, Sarawak tak akan lompat parti

Majoriti anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak hari ini menyatakan pendirian tidak akan lompat parti seperti yang diuar-uarkan pembangkang sebelum ini.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Ap- dal berkata, kenyataan yang dibuat pembangkang mengenai perkara itu merupakan suatu rekaan dan pembohongan semata-mata.

“Sokongan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan BN dan kita akan sentiasa bersama BN walaupun ada cerita di luar sana bahawa kononnya ada ura-ura anggota Parlimen dari kedua-dua negeri nak melompat (parti),” katanya yang mewakili anggota Parlimen kedua-dua negeri itu pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Kira-kira 20 anggota Parlimen Sabah dan Sarawak hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Unggah Embas dan anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna berkata pendirian tidak akan berlaku lompat parti itu turut dinyatakan dua anggota Parlimen BN dari Sabah iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) yang sebelum ini didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya telah bercakap dengan Eric Majimbun dan Chua Soon Bui pagi ini, saya berjumpa mereka dan mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka masih kekal bersama BN,” katanya.

Shafie berkata, satu surat yang mengandungi tandatangan semua anggota Parlimen dari kedua-dua negeri itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok sebagai tanda sokongan mereka.

“Kami akan memberi jaminan kami dan akan menandatanganinya dan menyerahkannya kepada Perdana Menteri hanya untuk memastikan tiadanya spekulasi,” kata Shafie.

No comments: