Wednesday, August 27, 2008

Kemenangan Anwar hanya kerana sentimen simpati

Kemenangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menunjukkan pengaruh beliau masih lagi kuat walaupun banyak isu berbangkit dikaitkan terhadapnya.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain (gambar) berkata, kemenangan Anwar di Permatang Pauh adalah berpunca daripada simpati rakyat terhadap dirinya.

Katanya, isu-isu yang berbangkit ketika pilihan raya meningkatkan lagi kepercayaan pengundi bahawa Anwar telah dianiaya menyebabkan kempen Barisan Nasional (BN) kurang berkesan.

''Selain itu, isu-isu dalaman UMNO yang masih tidak selesai mengurangkan lagi minat rakyat untuk mengundi BN," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Presiden Pergerakan Antarabangsa Dunia Adil (JUST), Dr. Chandra Muzaffar pula menganggap kemenangan PKR itu adalah berpunca daripada ketaksuban pengundi Permatang Pauh.

Katanya, ketaksuban itu adalah amat merugikan kerana ia akan menolak penilaian secara adil dan saksama.

''Selain itu, PKR juga dapat menarik undi daripada semua kaum dengan mesejnya untuk membela rakyat bukan Melayu dan hubungan baiknya dengan Pas," jelas beliau.

No comments: