Sunday, August 17, 2008

UiTM terus desak Khalid buat permohonan maaf

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah bertegas akan terus menuntut permohonan maaf daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan cadangannya supaya universiti itu membuka kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera dan pelajar asing.Pada masa sama, katanya, jika Abdul Khalid tidak mahu berdepan dengan tindakan undang-undang, beliau juga perlu menarik semula dakwaan pelajar UiTM tidak mesra, tidak berkualiti dan tidak mempunyai daya saing.

"Jika dia tidak berbuat demikian, UiTM akan melakukan sesuatu mengikut undang-undang dan apa yang akan kami buat masih dalam rahsia.

"Saya bukan hendak tunjuk keras kepala, kalau tuduhan itu betul, saya akan senyap dan mengakuinya tetapi semua itu tidak benar sama sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Alumni Homecoming 2008 yang disertai lebih 3,000 alumni universiti itu di sini hari ini.

Rabu lalu Abdul Khalid tetap dengan pendirian tidak memohon maaf kepada UiTM setelah mencadangkan kuota 10 peratus diberikan kepada pelajar bukan bumiputera dan asing untuk memasuki universiti itu dengan alasan ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Menteri Besar itu yang memberikan alasan cadangan yang dikemukakannya bukan untuk mempersoalkan hak istimewa bumiputera dan penubuhan UiTM, sebaliknya mahukan isu itu yang mendapat bantahan banyak pihak, tidak perlu diperbesarkan lagi.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri sebaliknya akan terus berjuang mendesak sehingga Abdul Khalid memohon maaf ekoran kenyataannya tempoh hari memandangkan pihaknya mempunyai banyak bukti bahawa tuduhan yang dilemparkan Abdul Khalid adalah tidak berasas.

"Sebagai bukti, sebanyak kira-kira 70 peratus pelajar UiTM hari ini bekerja di sektor swasta bersama kaum lain dan ini menolak tuduhan Abdul Khalid bahawa pelajar kita tidak mesra.

"Kalau hendak kata kita tidak berkualiti pula, kita ada bukti dengan membawa pulang banyak kejayaan dan pingat emas dalam pertandingan peringkat antarabangsa mengalahkan universiti lain," ujarnya.

Beliau berkata, kekecewaan lebih 130,000 warga UiTM berhubung cadangan dan tuduhan Abdul Khalid nampak jelas apabila sebahagian besar daripada mereka berhimpun secara aman dan menghantar memorandum tanda protes.

"Saya tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian tetapi itu adalah reaksi spontan daripada mereka yang marah dan kecewa dengan tuduhan seorang pemimpin bangsa Melayu," jelasnya.

Sementara itu, Ibrahim turut menyuarakan kehairanannya dengan sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan cadangan supaya UiTM membuka 10 peratus kuota kepada bukan bumiputera.

"Ini semua bagi mempengaruhi undi semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang saya kira tindakan itu seperti menjual agama, bangsa dan negara," ujarnya.

No comments: