Wednesday, August 27, 2008

BPR ambil keterangan Nallakarupan soal rasuah Anwar

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mengambil keterangan Datuk S. Nallakaruppan berhubung dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian Magnum Corporation Berhad.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, beberapa pegawainya akan menemui bekas sahabat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, ini bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Nallakarupan itu dan pada masa yang sama membolehkan BPR mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau menjelaskan, BPR tidak semestinya menunggu seseorang membuat laporan kepada agensi itu untuk memulakan siasatan.

"Tak semestinya tunggu sampai dapat laporan, kalau benar wujud unsur rasuah, kita sendiri akan ambil keterangan daripada mereka yang membuat dakwaan dan kemudian boleh memulakan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sijil kepada peserta Kursus Sijil Eksekutif bagi Pengurusan Strategik Program Anti Rasuah di Akademi BPR di sini hari ini.

Kursus antarabangsa selama dua minggu bermula 12 Ogos lalu itu disertai 20 pegawai agensi anti rasuah dari Brunei, Bhutan, Malaysia, Mongolia dan Nigeria.

Abu Kassim menambah, sebaik keterangan Nallakarupan diambil dan maklumat berkaitan dikumpulkan, pihaknya akan membuat keputusan sama ada meneruskan siasatan atau sebaliknya.

Sabtu lalu, Nallakaruppan, yang pernah menjadi Pengarah Perhubungan Awam Magnum mendedahkan, Anwar pernah menerima RM60 juta daripada Magnum Corporation Bhd.

Beliau turut mendedahkan, ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Anwar meluluskan banyak lesen perjudian untuk kedai empat nombor ekor.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu saman fitnah yang difailkan oleh dua ahli Exco negeri Perak terhadap BPR, Abu Kassim memberitahu:

"Biarlah undang-undang menentukan siapa bersalah atau sebaliknya. Pegawai penguat kuasa kami menyiasat berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh. Kita tengoklah nanti siapa yang bersalah."

No comments: