Friday, September 5, 2008

Saya tidak akan minta maaf isu hina kaum cina - Datuk Ahmad Ismail


Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail tetap berpegang teguh dengan pendiriannya tidak akan meminta maaf walaupun diminta pelbagai pihak berbuat demikian termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Sambil menyatakan rasa hormatnya atas permintaan Perdana Menteri itu, Ahmad berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian kerana yakin tidak bersalah seperti yang didakwa.

''Saya hormati Pak Lah sebagai pemimpin besar negara dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi saya juga menerima terlalu banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pelbagai pihak termasuk kawan- kawan yang meminta saya tetap dengan pendirian saya ini.

''Saya yakin saya tidak bersalah, buat apa saya perlu meminta maaf. Saya tetap berpegang teguh tidak akan meminta maaf walaupun diminta berbuat demikian oleh sesiapapun," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad mengulas seruan Perdana Menteri supaya beliau meminta maaf dalam masa seminggu ini berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat Cina hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu, adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said mengesahkan polis telah mengambil keterangan Ahmad malam semalam.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, keterangan diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

No comments: