Friday, September 5, 2008

Ahli Parlimen Sarawak, Sabah bangga jadi asas BN

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak dan Sabah bangga berada dalam kerajaan BN yang sudah terbukti mampu membawa pembaharuan dan perubahan di kedua-dua negeri ini, kata Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Beliau berkata, dakwaan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Dr. Teo Yu Kheng bahawa ramai ahli Parlimen negeri ini akan berpaling tadah kepada pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan baru 16 September ini adalah tidak berasas.

Katanya, kenyataan Yu Kheng itu hanyalah sekadar bertujuan mengelirukan rakyat berhubung pendirian ahli Parlimen BN Sarawak terhadap kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

‘‘Tidak kira apa sekalipun yang akan terjadi, kami wakil rakyat dari BN Sarawak akan tetap meneruskan sokongan kepada BN.

‘‘Kami tahu pembangkang kini sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelirukan rakyat termasuk memperlekehkan pendirian wakil rakyat BN terhadap kerajaan sedia ada,’’ katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yu Kheng yang mendakwa ramai wakil rakyat Sarawak khususnya mereka yang enggan menandatangani surat jaminan setia kepada Perdana Menteri akan berpaling tadah menjelang 16 September ini.

Ahmad berkata, wakil rakyat BN sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan janji-janji pembangkang.

‘‘Kerajaan BN banyak berbudi kepada Sarawak dan begitu juga Sabah dalam aspek pembangunan rakyat di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah juga menyifatkan PKR sanggup berbohong kepada rakyat dengan mendakwa ada wakil rakyat negeri ini mahu melompat parti.

No comments: